Tuesday 25 March 2014

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Salam  Perkenalan...

Alhamdulillah dikesempatan ini saya berpeluang memulakan penulisan entri pertama berblogging setelah ditunjuk ajar oleh cikgu  Anys Idayu Zakaria. Kata orang tak kenal maka tak cinta.  Jadi sebelum  saya pergi lebih jauh ke arah matlamat sebenar saya mencipta blog ini eloklah saya perkenalkan serba sedikit tentang diri saya. 

Saya adalah insan diberi nama Marliana Binti Yaacob.  Dilahirkan pada 16 Julai di Machang, Kelantan.  Mula mendapat pendidikan sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Machang selama enam tahun di sini dan menyambung pula persekolahan peringkat menengah selama tujuh tahun di SMK Machang, Kelantan. Alam persekolahan tidak menghalang saya menjual makanan di sekolah kepada sahabat-sahabat terdekat. Saya mula menjual kerepek dan nasi lemak semasa darjah tiga. Dari segi hobi pula, perkara yang saya suka buat di masa terluang ialah membaca buku-buku motivasi dan kisah sejarah.  Ada kalanya juga saya gemar menanam pokok bunga dan mendekorasi rumah.

Semasa alam persekolahan saya mula minat menulis dan pernah memasuki pertandingan menulis esei  semasa Pesta Buku Negeri Kelantan.  Selain itu, sebagai anak gadis, sedari zaman persekolahan lagi saya menitikberatkan kecantikan diri.  Walau bagaimanapun, semasa zaman remaja dulu saya tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk membeli suplemen dan juga set penjagaan muka. Maka, saya mengamalkan beberapa petua orang dulu-dulu seperti sapu putih telur di muka, rambut pula dilumur dengan air limau purut, serbuk teh digosok pada kulit tangan dan betis serta macam-macam lagi petua mudah dengan kos yang murah telah saya cuba amalkan untuk kecantikan diri sendiri. 

Tahun 2001 adalah rezeki untuk saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia dalam bidang Sastera Dengan Pendidikan.  Alhamdulillah, empat tahun di sini saya dikelilingi sahabat-sahabat yang cantik rupa dan akhlak. Sepanjang bergelar mahasiswa saya masih lagi meneruskan minat menulis iaitu mencatat diari dan kata-kata jiwang sebelum tidur.  Maklum sahaja, hidup dengan teman-teman dan berjauhan dari keluarga mudah membuatkan hati sayu. Aspek kecantikan diri makin membuak-buak dalam diri dan ilmu dalam diri pula makin bertambah melalui pembacaan Majalah Mingguan Wanita yang mampu dibeli oleh saya dengan harga RM3.00 sahaja.  Jadi, amalan petua-petua kecantikan masih sebati dalam diri saya.

Selama empat tahun bergelar mahasiswa pendidikan, tahun 2005  merupakan bermulanya lakaran hidup sebenar yang penuh makna dalam hidup saya di mana pada tahun itulah saya mengakhiri zaman bujang, berjaya menamatkan pengajian serta mendapat penempatan pertama sebagai cikgu dan bakal menjadi seorang ibu.  Wahh... semuanya dalam tahun 2005!.

Bergelar seorang guru tidak menghalang minat saya terhadap perniagaan.  Seolah bermimpi di siang hari saya mampu bangun pagi membuat kuih untuk dijual di sekolah.  Masakan orang semenanjung begitu mendapat tempat di hati sahabat-sahabat saya di SMK Penrissen No. 1 Kuching, Sarawak.  Inilah yang membakar semangat saya untuk berniaga makanan.  Selain itu, saya turut menjual kain pasang dan tudung. Seorang sahabat baik saya pernah berkata mungkin darah Cik Siti Wan Kembang ada dalam diri saya.  Itu yang menyebabkan saya minat berniaga.  Bagi saya, menjadi satu kepuasan bagi diri sendiri apabila saya berkongsi kebaikan sesuatu produk yang saya gunakan dengan orang lain.  Tahun 2012 adalah tahun bermulanya saya menjinakkan diri dalam bisnes online dan semestinya produk kesihatan dan kecantikan menjadi pilihan saya untuk berurusniaga.

Entri seterusnya saya akan mendedahkan manfaat kesihatan dan kecantikan kesan daripada pengamalan suplemen terhebat dalam kehidupan seharian kita.  Sekali lagi salam perkenalan dan ukhwah dari saya

No comments:

Post a Comment